23 January 2010

By Azizul - Hiestand

minggu pertama adalah bagai sesi perkenalan pembuka lembaran coretan
kehidupan di kilang Hiestand. Kini, minggu kedua telah kulepasi..
mendapat coretan pertama penyelia industri di buku log harian.. puas
rasanya apabila segala catitan-catitan harianku dihargai dan dibalas
dengan pujian. sedikit pujian tidak akan melekakan diriku ini..
InsyaAllah akan ku semat dihati ini untuk sentiasa menjadi lebih baik
dari masa ke semasa.

Setiap minggu juga menyaksikan diriku bergerak dari satu bahagian
produksi kilang ke bahagian produksi yang berlainan. Penyelia silih
berganti dari minggu ke minggu. Pelbagai ragam mereka mengingatkanku
pada para pensyarah yang mengajar di universiti tercinta UDM Kampus
Kota. Para pekerja kilang kini bukan lagi orang asing bagi diriku.
Merekalah tempat ku bertanya, tempat ku melepaskan kebosanan dengan
omong-omong kosong menanti jam sampai ke detik 6 petang. Keriangan
mereka sedikit sebanyak mengubati rinduku kepada wira-wirawati Fakulti
Teknologi makanan yang kini berjuang di merata pelosok negara dengan
satu harapan menggarap segala ilmu dikala masa masih mengizinkan ini.
Tatkala sudah saling mengenali antara satu sama lain, interaksi
semakin mudah. Segala percakapan dengan mereka adalah ilmu. mana tahu
satu hari nanti ada gunanya. Teguran-teguran penyelia kujadikan
motivasi kepada diri ini untuk terus bersemangat.


Minggu kedua ternyata minggu yang sedikit sibuk bagi diriku. Mencuba
merapatkan diri dan memahami mesin-mesin yang tak pernah kujumpa
sebelum ini. Alhamdullillah Sedikit ilmu yang diajar oleh Prof
Abdullah menjadi asas untuk ku memahami selok belok mesin ini
disamping pengetahuan-pengetahuan berkenaan roti dari Dr. Maaruf dan
Pn Izi serta tak kulupa kak hanis yang sentiasa ceria menyambut para
pelajar di makmal :) Pertanyaan-pertanyaan yang kulontarkan kepada En.
Azmir bingkas di jawab oleh beliau dengan penuh minat dan disertakan
dengan serba sedikit jenaka yang sentiasa x lokek dengan karektor
beliau. Kepada Pn. Izi, En Azmir ataupun lebih mesra dengan sapaan
abang azmir masih mengingati kehadiran Pn Izi di Hiestand Satu ketika
dahulu.


Minggu ketiga, diriku masih ditempatkan di Bakery tetapi kali dengan
misi yang berlainan. setelah mesin REX kukenali, sudah tiba masanya
untuk mengenal mesin VGS. kepada mereka yang tertanya-tanya apakah itu
REX apakah itu VGS, mungkin susah untuk kujawab berikutan abng Azmir
sendiri pun tidak mengetahui REX dan VGS itu apa nama panjangnya. Yang
hanya dimaklumkan beliau ialah nama-nama tersebut adalah singkatan
dari perkataan bahasa Austria. Mungkin para pensyarah, pegawai-pegawai
sains, Kawan-kawan yang ada maklumat tambahan mesin ini, bolehlah
dikongsi bersama dengan cara membalas coretanku ini. Minggu ketiga
menyaksikan diriku bertemu dengan seorang lagi penyelia baru. En Manaf
namanya. Berbeza dari En. Azmir, En Manaf lebih serius menyelia tenaga
kerja produksi bakery. Beliau juga adalah salah seorang dari kumpulan
ERT ( Emergency Rescue Team) iaitu sebuah kumpulan dari beberapa
penyelia bahagian produksi yang berfungsi untuk menyelamatkan para
pekerja dengan pantas dan efisyen dan pada masa yang sama meminimumkan
tahap kerosakan kilang apabila berlaku perkara yang tidak diingini
seperti kebakaran, letupan gas dan sebagainya.


minggu ketiga banyak mendekatkan diriku kepada realiti sesebuah
kilang. Kilang Hiestand seperti kilang-kilang lain tidak lari dari
cabaran dan dugaan dalam meniti industri penghasilan makanan. Jabatan
kesihatan dan Jabatan kemajuan Islam, JAKIM telah mengadakan lawatan
mengejut pada dua masa yang berlainan. Walau bagaimanapun, kelihatan
Mr. Urs Pengarah bahagian produksi dengan senang hati membawa mereka
dari satu divisyen ke divisyen yang lain. Sememangnya tiada apa yang
perlu dirisaukan kerana pada pengamatanku tiada masalah dari segi hal-
hal berkaitan Jabatan kesihatan dan Jabatan kemajuan Islam. Belum
menarik nafas lega, kami dimaklumkan bahawa kilang ini akan dilawati
oleh delegasi dari Jepun seramai 13 orang. Sememangnya cabaran bagi
kilang Hiestand kerana mereka adalah salah satu dari pelanggan besar
mereka. Mereka juga memang terkenal dengan keutamaan kualiti dan
sangat cerewet berkenaan produk langganan mereka. yang berdebu dengan
tepung dilap, pelekat-pelekat di badan mesin berkenaan info kepada
pekerja yang nampak buruk diganti dengan yang baru. Dalam diri ini
ternyata ada sedikit perasaan takut dan gusar tatkala melihat kelibat
warga Jepun datang mendekati bahagian bakery. Bukan takut yang tidak
berasas, tetapi takut mencemarkan nama baik syarikat Hiestand dimata
warga Jepun yang datang melawat. Alhamdulillah debaran telah berakhir
apabila delegasi tersebut keluar dari kawasan produksi pada jam 12
tengah hari. Setakat ini tiada lagi berita dari Mr. Urs berikutan
ketidakpuasan hati para pelawat Jepun ini. Kuharap segala-galanya baik-
baik sahaja hendaknya.


Hari Jumaat sememangnya hari yang ditunggu-tunggu bagi diriku. Hari
ini menandakan berakhirnya hari bekerja bagi minggu itu dan esok
bolehlah ku beristirehat dihadapan televisyen sambil merehatkan kaki
ini yang kadang-kala bagaikan sudah mahu tercabut tidak tertahan lagi
untuk berdiri. Kepada adik-adik fakulti yang membaca coretan abang
ini, ingat-ingatlah kembali nostalgia kamu semua di sekolah rendah
mahupun sekolah menengah dimana kita telah didenda berdiri untuk satu
matapelajaran. Adik-adik sekalian, satu matapelajaran hanyalah
bersamaan dengan 1 jam, bayangkanlah diri adik-adik sekalian berdiri
selama 9 jam. Belum pernah lagi pekerja di kilang Hiestand mati dek
kerana berdiri selama 9 jam wahai adik-adikku. sakit lenguh
sememangnya biase. Bak kata pepatah, Alah bisa tegal biase, lama
kelamaan sudah menjadi rutin hidup seperti makan dan minum. Yang
penting dan yang perlu diasah dari awal lagi adalah ketahanan mental
yang utuh dan tidak mengenal erti kalah.


tak lengkap rasanya jika tidak menutup coretan ini dengan menceritakan
satu jenaka yang telah berlaku pada hari jumaat baru-baru ini. Pada
pukul 5.30 ptg, bunyi siren kebakaran telah dibunyikan. Kawanku dalam
produksi bakery, Bikash namanya lari dengan lajunya sambil menjerit
API API kepada kawan-kawan dalam dialek tempatannya (Nepal). Tetapi
tatkala sudah sampai ke gate luar kilang, Bikash kembali semula
kedalam bakery kerana beliau lupa menutup suis oven. Bikash yang
sebelum ini hanya kelihatan serius membuat kerja kini telah nampak
senyuman yang sememangnya mahal untuk dikuntumkan. Walaupun amarn ini
hanyalah olok-olok (false alarm) tetapi, para pekerja mengambil
serius perkara ini kerana ianya melibatkan nyawa mereka.


sekian sahaja coretanku pada kali ini. ada masa terluang akan
kulabuhkan satu lagi coretan baru berkongsi pengalamanku di Bandar
Baru Bangi yang x henti-henti dicurahi hujan rahmat sejak beberapa
hari ini. Doakanlah diriku ini sihat-sihat sahaja hendaknya disini.
Wassalam.